Ahad, 19 Mei 2013

GARIS PUTIH

DATO' SAIFUDDIN ABDULLAH dalam akhbar Sinar Harian, 16 Mei 2013 menyarankan UMNO agar bertaubat nasuha. Anjuran itu disebut Dato' Saifuddin itu diluahkan dalam Wacana Sinar siri ke-20 berjudul "Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu" di Auditorium Karangkraf. Menurut Dato' Saifuddin, UMNO perlu terima kritikan rakyat dengan hati terbuka. Hal ini menjurus pada kritikan rakyat yang semakin jelas menolak segala unsur korupsi dan penyelewengan kepimpinan UMNO. 

Dalam wacana yang sama, Dato' Saifuddin juga menganjurkan Barisan Nasional agar mewujudkan satu garis  seperti yang pernah dilakukan di Hong Kong. Bagi Dato' Saifuddin, "Pertamanya, apa yang perlu dilakukan adalah dengan memohon maaf atas kesilapan lalu. Itu sangat penting. Kedua, menyatakan dengan tegas bahawa perkara lama [kesilapan] itu tidak akan diulangi dan ketiga bermula ke hadapan mengurus tadbir yang bru dengan mengamalkan politik baru, mengangkat diskusi politik ke paras yang tinggi."

Pada saya, agak jelas bahawa PRU 13 memperlihatkan wujudnya dua kelompok pengundi. Pertama, pengundi yang masih menagih pembangunan seperti pembinaan jalan raya. Kedua, ialah kalangan pengundi yang menuntut kepimpinan yang lebih 'bersih', yang mahukan demokrasi dan cengkaman daripada rasuah. Hal ini juga disentuh Dato' Saifuddin dan mencetuskan idea beliau agar BN mengadakan garis putih.

Tidak terlepas daripada pengamatan, Dato' Saifuddin turut memperakui bahawa rasuah sememangnya wujud dalam kalangan tertentu dalam pelaksanaan transformasi yang diuar-uarkan. Menurut Dato' Saifuddin, "Apabila kerangka program transformasi dirangka, kita utamakan rasuah, kita akui masalah itu berlaku. Setiap tender kerajaan sekarang dikenakan satu indeks akauntabiliti yang telah dilaksanakan sebanyak 82 peratus tapi sepatutnya ia dilaksanakan 100 peratus. Ini dikatakan tidak mencukupi. Kita sepatutnya perlu tingkatkan komitmen dan menunjukkan keseriusan itu. Kita terima teguran rakyat terutamanya pada PRU 13 dan 2008, kami ditegur 2013; taubat nasuha."

Cadangan dan pengakuan Dato' Saifuddin, Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang amat diminati golongan belia ini perlu direnung UMNO dengan akal yang waras. Ambil pengajaran bahawa rakyat kita semakin jelas dan menolak segala penyelewengan dalam pentadbiran. Sebagai pemimpin, tidak semua yang dilakukan adalah benar. Ambil teguran rakyat, dan berubahlah sebagai tindakan. Teladan kepimpinan yang harus dipraktikkan sudah lama ditunjukkan oleh sirah nabawiyah, tinggal lagi mahu dijadikan teladan atau hanya dikesampingkan. Yang lama, tidak semestinya tidak berguna dan yang baharu, bukanlah sesuatu yang baik sekiranya tidak menyumbang kepada pembangunan insan, sebaliknya hanya bertumpu pada pembangunan material.

Kepada Dato' Saifuddin Abdullah, semoga istiqamah dalam menyatakan kebenaran, walaupun pahit dan tergugat kedudukan.
kenangan bersama Dato' Saifuddin Abdullah

kenangan bersama Dato' Saifuddin Abdullah

Rabu, 15 Mei 2013

SETAHUN SUDAH

SEMALAM, 14 Mei 2013. Sehari sebelum tarikh semalam juga begitu memberi kesan kepada saya. Semalam, genap setahun emak dimasukkan ke hospital. 13 Mei 2013, ingatan saya cukup kuat mengingat dan melihat semula segala yang berlaku pada tarikh itu, sebelum jam tiga dinihari 14 Mei 2012 tiba. 13 Mei 2012 (Ahad) setahun yang lalu, seharusnya saya keluar pada petang itu untuk pertemuan terakhir sebelum sahabat saya sejak zaman sekolah itu mendirikan rumah tangga. Saya dan dia berada dalam kelas yang sama dari darjah satu hingga tingkatan lima. Hari ini, sahabat saya itu sudah tiga minggu bergelar ibu.

Walau bagaimanapun, perancangan itu terbatal. Keadaan emak agak tidak sihat, membuatkan saya keberatan untuk meneruskan janji temu kami itu. Pada sebelah malam, selepas solat Isyak - keadaan emak bertambah baik. Emak selesai solat Isyak dan sempat mengaji Quran dengan hanya bertayamum. Usai mengaji dan solat , emak nampak lebih tenang dan gembira. Dalam jam 10 malam, emak berkata "Esok, kalau sihat ... nak masaklah. Nak makan apa?".

Emak masuk tidur pada jam 11 malam.Seperti biasa, sebelum tidur emak sempat bertasbih, bertahmid sebelum menyuruh saya mengambil Teja untuk tidur bersama-sama emak. Teja memang kucing kesayangan emak. Setiap malam, Teja tidur di lengan emak. Jam 12 pagi, emak jaga lagi. Emak menuju peti ais, mahu mengeluarkan ikan untuk dimasak esok hari. Ketika itu, saya sedang menyiapkan esei berjudul "Citra Bahasa dalam Jenama Tempatan" untuk majalah Dewan Bahasa yang terbit dua bulan selepas emak pergi buat selama-lamanya. Saya masih ingat lagi, emak menunduk mendekati komputer riba saya dalam keadaan gelap itu memandangkan lampu bilik saya tutup untuk keselesaan tidur emak. Wajah emak betul-betul dekat ke monitor komputer riba saya. Entah kenapa emak begitu, sedangkan emak tidak pernah berkelakukan begitu. Sebelum kami tidur, emak berkata lagi "Emak ampunkan semua dosa anak mak. Anak mak tak ada dosa dengan mak."

Tepat jam tiga pagi, saya terdengar suara emak berbisik "Astaghfirullah, astaghfirullah." Saya bingkas bangun, menghidupkan suis lampu dan melihat emak terus mengucap. Dada emak sesak. Tubuh emak berpeluh. Saya hanya mengurut emak sebab begitulah kebiasaannya. Pada bulan Mac 2012, saya membawa emak untuk janji temu dengan pakar perubatan di Hospital Selayang. Semuanya baik, darjah diabetes dan hipertensi emak juga baik. Ujian ECG untuk meninjau tahap kesihatan emak juga baik. Isnin tiga minggu berturut-turut sebelum 14 Mei 2012 itu juga, saya  membawa emak ke beberapa pusat perubatan. Tiada yang melihat jantung emak sebagai tidak sihat.

Setelah satu jam keadaan pernafasan dan dada emak semakin sakit, saya putuskan untuk bawa emak ke Hospital Selayang. Emak tidak mahu. Kata emak, "Dah tak sayang emak ke?" Saya kata, "Sebab sayanglah nak bawa mak." Sebelum keluar dari rumah, emak melihat kucing-kucing kami (Boboi, Teja dan Jie Jie". Kata emak lagi, "Jaga kucing dik. Bagi makan kucing."

Dalam kereta, emak menyebut "Pergi hospital ni, mak dah tak balik lagi dik ..." Saya hanya mengurut belakang emak. Sebaik-baik tiba di bahagian kecemasa Hospital Selayang, emak terus dimasukkan ke zon kritikal. Doktor wanita itu memeriksa emak Ketika emak diperiksa, mata emak memandang saya. Cermin mata yang dipakai diserahkan kepada saya. Doktor menutup tirai hijau. Apabila doktor keluar dari tirai itu dia berkata, "This is very serious. Ur mum kena serangan jantung yang berulang. Kenapa u tak perasan? Frankly, her condition is very critical."

Saya tidak percaya, emak tidak pernah diserang sakit jantung. Emak baru saya bawa jalani beberapa rawatan dan tiada pakar yang mengatakan jantung emak tidak sihat. Emak seorang yang amat menjaga pemakanan dan kesihatan. Emak tidak pernah ditimpa penyakit begitu. Bagi saya, emak akan sembuh tidak lama lagi. Akan tetapi, kata-kata doktor itu fakta. Memang beberapa hari sebelum itu, tubuh emak kuat berpeluh malah ketika tidurpun. Beberapa kali emak mengadu sakit dada tetapi tidak terlintas di fikiran saya itu tanda sakit jantung.

Sejak itu, emak terus ditidurkan doktor. Menurut doktor, emak tidak boleh dibiarkan dalam keadaan jaga. Saya melihat begitu banyak wayar disambung ke tubuh emak. Dinihari itu ialah kali terakhir saya melihat emak, melihat mata bening emak yang berwarna coklat. Emak ditidurkan dari 14 Mei 2012 pada jam lima pagi hingga emak pergi buat selama-lamanya pada jam 12:50 tengah hari, 19 Mei 2012. Dalam tempoh itu, emak tidur dengan sangat lena wajahnya. Namun, badan emak panas. Doktor memberitahu saya bahawa emak demam sepanjang tempoh itu. Sabtu ini, genaplah setahun emak pergi dan tentu sekali hari itu akan menjadi semakin kuat dalam ingatan saya.

Al Fatihah buat emak yang amat saya cinta, Rambelah binti Maryam. Semoga saya dapat bertemu emak semula. Semoga Allah ampunkan segala dosa emak. Semoga Allah rahmati roh emak. Semoga Allah jadikan kubur emak sebagai sebahagian daripada taman-taman syurga. Semoga Allah jadikan roh emak sebagai roh yang bahagia. Semoga Allah ampunkan dosa saya terhadap emak. Semoga, saya dapat bersama emak semula. 

Saya dan emak, berpisah hanya jasad tetapi cinta yang terbina, tetap ada.

Mac 2012, kali terakhir bawa emak janji temu pakar di hospital

Tinggal kenangan
Emak
Waktu-waktu akhir, memegang emak

------------------------------------------------------------------------------------------------------------ 

Who should I give my love to? 
 My respect and my honor to  
Who should I pay good mind to? 
After Allah And Rasulullah   
Comes your mother  
Who next? 
Your mother  
Who next? 
Your mother  
And then your father
 
Cause who used to hold you  
And clean you and clothe you  
Who used to feed you?  
And always be with you  
When you were sick
 Stay up all night  
Holding you tight  
That's right no other  
Your mother (My mother)
 
Who should I take good care of? 
Giving all my love  
Who should I think most of?  
After Allah And Rasulullah
Comes your mother 
 Who next? 
Your mother  
Who next? 
Your mother 
 And then your father
 
Cause who used to hear you  
Before you could talk  
Who used to hold you?  
Before you could walk  
And when you fell who picked you up 
Clean your cut 
No one but your mother My mother
 
Who should I stay right close to? 
Listen most to
 Never say no to After Allah And Rasulullah
Comes your mother 
Who next? 
Your mother  
Who next?
Your mother  
And then your father
Cause who used to hug you 
And buy you new clothes comb your hair  
And blow your nose  
And when you cry  
Who wiped your tears?
 Knows your fears 
Who really cares?  
My mother
 
Say Alhamdulillah  
Thank you Allah  
Thank you Allah 
For my mother.

Lirik lagu Your Mother oleh Cat Steven

Ahad, 12 Mei 2013

PADA TAKAH INI

SELALUNYA, saya rasa saya mampu bekerja keras tanpa mengira masa. Akal memperakui keupayaan untuk terus bekerja. Akan tetapi, kadang-kadang saya lupa bahawa tubuh juga punya hak untuk menikmati rehat daripada segala lelah bekerja. Sejak Khamis lalu, saya berasa agak penat kesan daripada berulang-alik dari Selayang ke Serdang dan Serdang ke Selayang. Sebagai penunggang, 80 minit berada di atas lebuh raya tanpa lampu isyarat begitu meletihkan sepasang kaki yang saya ada. Tambah lagi, sebaik-baik tiba di rumah dari Serdang pada petang Khamis lalu, saya terus membawa Qaseh ke Kepong yang mengambil masa 40 minit pergi dan balik. Maknanya, saya menunggang selama 120 minit pada Khamis lalu dalam keadaan demam yang bersisa. Hal ini menjadikan tubuh saya agak lesu pada hari seterusnya yang bergerak ke Serdang seawal 6:50 pagi, dengan ingatan yang masih kuat terhadap Qaseh.

Kelesuan itu memberi ruang kepada saya untuk berasa malas bagi menghadiri kuliah pertama semester kedua yang bermula semalam. Walhal, sepanjang saya bergelar pelajar hanya ada tiga sebab untuk saya 'tuang kuliah' iaitu ketika emak sakit, membawa emak untuk janji temu bulanan dengan doktor pakar dan kucing saya sakit. Akan tetapi, pagi semalam - rasanya lebih enak jika berehat di saja rumah sambil meneruskan penulisan yang terjadual. Namun saya pergi juga ke kuliah itu. Semasa memulakan perjalanan seawal jam 7:40 pagi, saya berkata di dalam hati "Semoga perjalanan ini akan memberi manfaat kepada saya. Semoga Allah mudahkan saya untuk memahami sesuatu yang bermanfaat untuk saya."

Saya sangat bersyukur dan terharu sepanjang mengikuti kuliah pagi semalam yang dikendalikan Dr. Mohd Zaidi Ismail. Topik yang dibincangkan ialah faham ilmu, keutamaan ilmu, peranan ilmu dan cabang ilmu yang berlegar dalam pandangan sarwa Islam. Saya terharu kerana Allah SWT menentukan saya untuk tetap hadir pada kuliah itu yang pada awalnya enggan saya hadiri dengan alasan 'penat'. Saya bersyukur kerana kuliah yang diberikan Dr. Mohd Zaidi menambahkan lagi keyakinan saya terhadap ilmu yang sedang saya terokai. Dengan kedudukan paling hadapan, saya puas dapat bertentang mata dengan guru yang dibibirnya memberikan sesuatu yang saya tidak pernah tahu, menjadi tahu. Daripada sesuatu yang tidak saya kenal, menjadikan saya semakin kenal. Juga, daripada sesuatu yang saya sedia tahu untuk lebih yakin dengan pengetahuan itu.

Saya faham, perjalanan dan kembara ilmu yang membuatkan manusia lebih kenal diri dan Pencipta itu tidak mudah. Bahkan, perjalanan itu merupakan satu perjuangan (jihad). Perjuangan menjadikan diri lebih faham tentang diri, agama dan Pencipta kita yang seterusnya wajar dimanifestasikan dalam cabang hidup yang dilalui. Dalam perjuangan ini, syaitan akan hadir dengan bisikan manjanya agar pencari ilmu lalai dan berputus asa untuk mendalaminya. Kenapa tidak? Kerana setiap yang bernama ilmu bukanlah boleh difahami dengan hanya sekali lalu, sekali baca, sekali lihat dan sekali usaha. Malah, memerlukan pengulangan, renungan yang mendalam dan pengertian yang baik daripada guru yang baik, ikhlas dan menyampaikan ilmu yang menjadi tanggungjawab kepadanya untuk disebarkan.

Dr. Mohd Zaidi memulakan kuliah pagi ini dengan kenyataan bahawa pentingnya pencari ilmu memahami tradisi pemikiran dalam Islam. Kepentingan ilmu dalam Islam jelas apabila perkataan ilmu menjadi kata yang kedua paling kerap diulang di dalam Al Quran. Malah, perihal kejadian manusia pertama di bumi iaitu Nabi Adam A.S juga tidak dapat tidak berkait dengan ilmu (Rujuk Surah Al Baqarah;30-35). Seterusnya, ayat pertama yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW (Rujuk Surah Al Alaq: 1-5) juga memberi keistimewaan pada soal ilmu.

Bagi manusia awam, ilmu diperoleh dengan usaha . Allah SWT akan memberi kefahaman kepada manusia terhadap ilmu berdasarkan kejujuran dan keikhlasan pencari ilmu terhadap ilmu yang diterokai. Subhanallah. Apakah kita jujur dengan ilmu yang kita depani? Apakah kita ikhlas dengan ilmu yang kita terokai? Dan, untuk apa kita mencari ilmu yang sedang kita cari? Ilmu bagaimana yang perlu kita cari? Saya lebih terkesan dengan tulisan Dr. Mohd Zaidi berjudul "Faham Ilmu dalam Islam: Satu Rencana Asas" yang diedarkan iaitu "Sekiranya kita meyakini hal yang diterangkan itu - iaitu; ilmu sangat utama dan penting dalam Islam, bahkan mendasari Akidah Islam - maka sebagai susulannya, hendaklah kita berusaha dengan ikhlas dan tekun untuk memperolehnya. Bagaimanapun, sebelum kita bergerak mendapatkannya, perlulah kita terlebih dahulu betul-betul mengenalinya agar kita tidak tersilap atau terkeliru sehingga menyangka apa yang BUKAN ILMU sebagai ilmu, atau mengambil LAWAN ILMU sebagai teman pemandu hidup kita. Ringkasnya, perlunya kita TAHU PERIHAL TAHU atau BERILMU TENTANG ILMU." Dengan pemahaman ini, penuntut wajar mempunyai penyaringan di dalam diri terhadap ilmu yang dicari supaya tahu meletakkan kedudukan ilmu yang diperoleh pada tempatnya yang benar, bertepatan dengan akidah yang dipegang.

Dr. Mohd Zaidi Ismail
Seperti yang ditekankan Syeikh Qadir Jailani dalam Wasiat Kerohanian, saya mendapat peringatan yang sama dalam kuliah pagi ini akan kepentingan insan untuk mencari ilmu dan mengajar ilmu yang dimiliki. Dengan peringatan itu juga, mengingatkan saya pada satu kuliah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang terdapat dalam buku Mauizhah, yang dengan tegas mengatakan setiap pelajar dituntut untuk mengajar. Kaitannya di sini ialah ilmu dan amal. Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menggerakkan insan untuk beramal dengan ilmu yang dimiliki. Sejauh mana kita beramal dengan ilmu yang kita ada?

Selesai kuliah, kata-kata emak tiga bulan sebelum saya menyambung pengajian pada tahun lalu bergema lagi. Kata-kata emak yang hanya belajar sampai tingkatan tiga tetapi berpesan kepada saya tidak lama sebelum emak pergi buat selama-lamanya, "Carilah ilmu, dik. Ilmu tu kan harta." Selain kata-kata emak, ada dua ayat daripada dua pujangga yang sering saya ingat hampir setiap hari, yang berkaitan ilmu. Pujangga pertama dalam satu tulisannya berkata, "Jika kita dapat ilmu yang baik, itu juga satu rezeki. Rezeki rohani untuk menjadi lebih tahu." Pujangga kedua berkata, "Ilmu ialah sesuatu yang dengannya kita dapat membezakan dengan jelas antara yang benar dengan yang salah. Yang membuatkan kita tidak lagi keliru atau buntu ketika berhadapan dengan sesuatu." Subhanallah.


Carilah ilmu. Ilmu itu kan harta -Emak-

Pengisian yang saya dapat daripada kuliah hari ini begitu memberi kesan kepada saya. Apatah lagi ketika saya tiba di rumah, membuka saluran 106, Prof Muhaya dalam segmen Reset Minda turut membicarakan hal yang sama. Ketentuan ini membuatkan saya menjadi begitu terharu dan penuh harap agar Allah menyingkap tabir-tabir dalam diri agar dapat saya memahami setiap ilmu dalam ruang reda-Nya. Semoga ilmu ini memberi manfaat kepada saya untuk diamalkan, bukan untuk sekadar dipendamkan.

Jika ditanya pada takah mana kehidupan yang pada saya amat bermakna, maka pada takah menjadi anak, hidup bersama emak dan yang sedang saya lalui dalam usia kinilah jawapannya. Takah hidup yang memberikan saya jelas akan matlamat dan sesuatu yang perlu saya lakukan atas dasar tanggungjawab.

Sekadar renungan :Ilmu ialah cahaya yang menerangi kegelapan. Bunyinya klise, tetapi dalam maknanya jika dibaca dengan renungan.

Catatan ini saya siap tulis pada 3:19 pagi setelah saya menoktahkan kerja penulisan saya pada halaman 136. Akan tetapi, catatan ini tidak dapat terbit mengikut masa disebabkan masalah talian jalur lebar yang tidak pernah selesai, walaupun menggunakan Usain Bolt sebagai model iklan terbaharunya.

Selamat menyambut kehadiran bulan Rejab, persediaan menjelang Ramadan.

Jumaat, 10 Mei 2013

PERGILAH QASEH

ANTARA yang sukar dalam kehidupan adalah untuk membiasakan diri menjalani kehidupan selepas kematian seseorang yang kita sayang.

Qaseh, 'pergi' jua pada jam 12:05 pagi tadi. Qaseh, mengukuhkan lagi pemahaman tawakal kepada saya iaitu berusaha selagi belum tahu keputusan di hujungnya. Berusaha dan terus berdoa kepada Yang Maha Menentukan segalanya. 

Qaseh berpenyakit sawan. Ini saya kenal pasti pada hari kedua Qaseh saya jaga. Beberapa hari lalu, Qaseh dijangkiti batuk dan selesema. Semalam petang, pada jam 6:05 minit saya bawa Qaseh ke Klinik Pet First di Kepong menaiki skuter saya. Qaseh duduk diam di dalam beg silang sambil memandang ke arah saya dengan mulut terbuka (bernafas guna mulut). Pandangannya seolah-olah memberitahu saya bahawa dia sakit dan mahu dibantu. Pandangan yang sungguh memilukan. Pandangan berisi kesakitan.

Qaseh dibawa ke sana untuk diberi bekalan oksigen memandangkan keadaan Qaseh yang sukar bernafas. Malah, sehari sebelum itu, ketika keadaan Qaseh tidak terlalu teruk, Qaseh juga saya bawa ke klinik yang sama untuk rawatan selesemanya.  Namun, saya sungguh tidak berpuas hati dengan usaha doktor di sana, petang semalam. Saya bercadang untuk membawa Qaseh ke Hospital Veterinar Gasing di Petaling Jaya pagi ini, tetapi ajalnya datang terlebih dahulu awal pagi tadi. Terasa, kemampuan saya terbatas hanya pada takah itu, usaha saya tidak boleh mengatasi tadbir Maha Esa. 

Masih segar di pandangan saya, melihat wajah Qaseh riang berlari, bermain dan bermanja. Masih jelas juga di pandangan saya, wajah Qaseh ketika pertama kali saya mengambilnya, pada malam Jumaat beberapa minggu lalu. Ketika itu Qaseh masih belum 'terangkat' telinganya, pandangannya juga masih belum jelas dengan usia empat minggu ketika itu. Qaseh menjerit berhampiran sebatang longkang.
Yang paling terasa kehilangannya, tentulah mama angkatnya, Kancil yang kehilangan anak angkatnya, buat kali kedua. Sebelum Qaseh saya kebumikan, saya tunjukkan Mama Kancil kepada Qaseh. Mama Kancil sempat menjilat tubuh Qaseh dan duduk di depan raga yang ditempati Qaseh beberapa ketika.

Hampir tiga minggu berkongsi hidup dengan Qaseh ialah detik-detik yang membahagiakan dalam meraikan satu nyawa yang berjuang untuk
hidup. Ketika melihat keadaan Qaseh semakin tenat, saya berdoa kepada Allah, sekiranya kehidupan itu baik untuk Qaseh, maka sembuhkanlah Qaseh dan berilah kehidupan yang terbaik buat Qaseh. Saya terima Qaseh sebagai amanah dan akan menjaga Qaseh dengan sebaik-baiknya. Sekiranya kematian itu yang baik buat Qaseh, berikanlah kematian yang terbaik buat Qaseh, dan permudahkanlah urusan itu.


Ketika mendaftar di klinik, lewat petang semalam
Qaseh diam di dalam beg silang
Semasa tunggu giliran
Ubat-ubat Qaseh
Qaseh di hujung nyawa
Qaseh, tiga hari lalu

Qaseh selamat dikebumikan bersebelahan pusara Wira pada jam 12:15 pagi. Semoga Qaseh tahu kewujudannya amat dihargai. Terima kasih, kerana hadir dalam hidup saya walaupun sementara - tetapi sayang dan hormat saya pada Qaseh akan kekal dalam ingatan dan pengalaman.

Al Fatihah

Isnin, 6 Mei 2013

KEMENANGAN UNTUK KEBENARAN

SAYA sentiasa percaya, kebenaran tidak akan pernah kalah. Lambat atau cepat hanya soal masa, sedangkan kebenaran, sifatnya tidak berubah. Bagi pejuang, tiada kemenangan material yang dikejar selain kemenangan spiritual, menjadi matlamat.


Apabila kita boleh terus memperjuangkan kebenaran, sebenarnya kita sedang meniti kemenangan.

Selamat tinggal PRU 13 yang sedia tercatat dalam sejarah dengan segala cacamarba agenda. PRU 14 akan tiba, ledakan perubahan akan semakin menyerlah.

Jie Jie, tetap sokong Pooh

Rabu, 1 Mei 2013

TENTANG MEREKA

BAGI saya, kucing ialah haiwan comel yang selalu membuatkan saya tersenyum waima dalam gundah dan gembira. Seperti sekarang, selesai melakukan penulisan sejak enam jam yang lalu, saya menoleh ke arah kucing-kucing saya. Ada yang sudah lena, ada juga masih enggan tidur. Barangkali kerana lampu yang belum dimatikan, itulah gelagat Kancil yang saya tahu.

Saya kurang bercerita tentang Oyen. Anak kucing ini saya ambil lebih sebulan yang lalu. Ketika itu usianya tiga bulan. Oyen ada dua saudara yang lain. Kedua-dua saya beri kepada keluarga angkat. Yang saya tidak berkenan dengan Oyen ialah sikapnya yang terlalu nakal dan suka menganggu, apatah lagi ketika saya membuat kerja-kerja penulisan saya. Sikap Oyen yang ini sama seperti Omi.

Apabila saya melihat ke kondominum yang diduduki Profesor Tam, Sofi, Aduka, Jebat dan Oyen - senyum saya akan lebar. Mereka berlima itu semuanya kucing terbiar yang saya ambil ketika usia mereka rata-rata dua bulan. Semuanya sudah dikembirikan dan divaksinkan kecuali Tam Tam dan Oyen. Apabila melihat mereka berlima juga, saya akan teringat pada satu peristiwa. Satu pagi saya ke pasar borong dan menunggang di belakang sebuah lori ayam. Bau kuat ayam itu mengingatkan saya kepada mereka berlima. Hampir sama saja baunya. Saya pun tidak pasti mengapa. Sejak itu, saya memanggil mereka sebagai 'ayam. Namun yang menarik bagi saya, mereka ditemui di kawasan yang berasingan pada usia yang juga berbeza akan tetapi kini bersatu di dalam rumah dengan penuh harmoni. Saling memerlukan dan menyayangi. Apakah tiada sesuatu untuk dipelajari daripada itu?

Omi, malam ini tidak langsung saya layan kehendaknya untuk bermain. Saya tidak mahu diganggu Omi yang suka menggigit kertaskhususnya bahan kerja saya. 

Qaseh pula, alhamdulillah hari ini langsung tidak diserang sawan. Paling menggembirakan, malam ini juga Qaseh buat pertama kali membuang 'hajat'nya secara sendiri. Pelik saya dengan Qaseh ini. Pada usia lima minggu, dia sudah pandai minum air sendiri di dalam bekas air. Dia terlalu kecil untuk itu, sepanjang pengalaman saya menjaga kucing.

Kucing ialah haiwan comel yang disayangi Nabi Muhammad SAW dan para sahabat khususnya Abu Hurairah. Kucing ialah haiwan yang comel yang dengan melihat wajahnya saja saya berasa tenang. Semoga mereka sihat selalu.

Mimi selepas melahirkan Omi, Abi, Owi, Opi dan Beri enam tahun lalu
Panglima Awang
Teja, kesayangan arwah emak
Omi ketika berusia setahun, semasa dia demam
Qaseh
Jie Jie saya
Jebat dan Tam Tam
Omi dinihari ini
'Ayam-ayam', Oyen, Tam Tam dan Sofi

Isnin, 29 April 2013

HIKMAH

SUDAH dua Khamis Qaseh dalam jagaan saya. Dalam entri terdahulu mengenai Qaseh, saya ada menyatakan bahawa Qaseh agak lemah pada hari kedua. Tubuhnya terkulai, matanya berkaca dan dia seolah-olah tidak sedarkan diri. Itu kali pertama saya lihat keadaan Qaseh begitu.

Lima hari selepas kejadian itu, keadaan yang sama berulang lagi. Kali ini, saya melihat sendiri Qaseh yang sedang bermain, tiba-tiba berubah menjadi lemah sebelum rebah. Qaseh berada dalam keadaan lemah bukan seketika, tetapi dalam tempoh lebih dua jam. Sepanjang tempoh itu, tubuhnya tidak boleh disentuh. Hal ini kerana sepanjang perhatian saya, setiap kali saya mengusap tubuhnya yang dalam keadaan begitu, Qaseh akan merengek dan tubuhnya semakin tegang.

Saya tidak tahu masalah yang Qaseh hadapi. Perkara yang sama berulang lebih kerap sejak dua hari lepas. Malah, setiap kali keadaan itu berulang, tempoh masanya semakin panjang. Hati saya amat sedih melihat keadaan Qaseh yang begitu. Semalam, ketika dalam keadaan lemah - Qaseh muntahkan semua susu yang diberi kepadanya.

Ketika keadaan itu berlaku, lidah Qaseh akan sedikit terkeluar. Air liur akan meleleh dan degupan jantungnya amat kencang. Apabila saya menghubungi doktor veterinar dan menceritakan perihal Qaseh, berdasarkan simptom yang saya ajukan kepadanya, doktor mengatakan ada beberapa kemungkinan Qaseh diserang sawan seperti itu. Pertama, berkemungkinan otak Qaseh tidak berkembang dengan baik disebabkan komplikasi yang berlaku ketika Qaseh masih dalam kandungan. Kedua, kemungkinan Qaseh dijangkiti 'power virus'. Ketiga, Qaseh mungkin menghidap anemia disebabkan cacing yang merosakkan sel darah. Kemungkinan ini juga berpunca daripada faktor kesihatan ibunya ketika mengandungkan Qaseh. Sekiranya kemungkinan kedua ini yang berlaku, tiada penawar untuknya. Lebih menyedihkan, dengan usia Qaseh yang baru enam minggu, tiada rawatan dapat diberikan buat masa ini. Kucing sekecil itu tidak sesuai untuk menjalani rawatan sehinggalah dia berusia dua bulan.


Ketika pengsan, petang semalam
Malam tadi, selepas hampir empat jam diserang sawan, Qaseh bangun dengan begitu lemah. Setelah hampir sejam, barulah Qaseh mahu bermain dan minum. Saya riang melihat Qaseh bermain dengan ibu angkatnya, seolah-olah Qaseh tidak sakit. Sedangkan, sakit yang dia rasa tidak tertanggung pada penglihatan saya. Betapa kuatnya Qaseh, hikmah itu yang Allah perlihatkan kepada saya.

Melihat keadaan Qaseh cukup memilukan saya, apatah lagi dalam keadaan saya tidak mampu membantu Qaseh meringakan sakit yang dihidapinya. Yang mampu saya lakukan hanya berdoa agar Allah berikan segala yang terbaik buat Qaseh. Setakat ini, Qaseh hanya bergantung kepada antibodinya sendiri. Saya amat berharap agar Qaseh akan sihat dan membesar dengan baik.

Sesungguhnya, cabaran paling besar untuk saya dalam hal ini - apabila saya perlu meninggalkan Qaseh dalam keadaan Qaseh sedang didatangi sakitnya, seperti pagi ini. Namun, situasi  ini sedikit-sebanyak mengajar saya erti tawakal. Saya yakin, Allah yang Maha Pengasih akan menjaga dan memberikan yang terbaik buat Qaseh.

...
Qaseh dan mama angkatnya, Kancil

Qaseh ketika sihat



Qaseh ketika pengsan

Selasa, 23 April 2013

HARTA PALING BERHARGA

PAGI ini, ketika bersiap-siap untuk keluar bekerja, saya sempat mendengar rancangan Muqaddimah di TV9, yang dikelolakan seorang ustazah. Saya tidak ingat nama ustazah itu. Segmen itu pada pagi ini memberi pesan kepada khalayak berkenaan kewajipan dan tuntutan Islam agar anak-anak menjaga ibu sebaik mungkin, sebagai harta yang tiada gantinya. 

Seorang ibu ialah wanita yang di dalam rahimnya pernah setiap anaknya hidup dan menumpang di dalamnya. Seorang ibu ialah wanita yang berusaha selama sembilan bulan bersabar melayani sakit dan segala rasa tidak senang ketika kita berada di dalamnya. Seorang ibu itu juga ialah wanita yang Allah muliakan darjatnya lantaran kesediaannya menyusukan kita dan membesarkan kita, memberi perlindungan dan keselamatan untuk kita, yang satu masa dulu ada di dalam rahimnya.

Ketika ibu masih ada, peliharalah mereka dengan sebaik-baiknya. Sediakan segala keperluan mereka secukup dan sebaik yang boleh kita berikan. Berikan juga rawatan yang terbaik buat mereka kerana satu ketika dahulu, mereka juga yang telah bersusah dan berusaha memberikan perlindungan, rawatan dan segala yang terbaik untuk kita. Apabila ibu sudah Allah ambil, hubungan anak dengan ibu tidak pernah terputus. Doa seorang anak menjadi harta yang mengiringi ibu di alam barzakh. Namun perlu diingat bahawa hanya doa anak yang soleh Allah perkenankan. Maka, berusahalah menjadi anak yang soleh agar doa kita untuk ibu dimakbulkan Allah. Agar ibu tidak menjadi fakir yang tertunggu-tunggu atau mengutip-ngutip doa para muslimin untuk muslimin.

Apa-apa yang ustazah itu katakan menambah syahdu di hati saya yang bermula petang semalam. Ketika berurusan dengan seorang pegawai di pejabatnya, saya terlihat seorang wanita tua berbaring di atas sofa. Sekilas saja saya melihat wanita itu, hingga kini saya tidak lupa senyuman wanita itu. Wanita itu sungguh mengingatkan saya kepada arwah emak saya. Begitu emak saya selalu berbaring ketika dia tidak sihat. Wanita itu juga tidak sihat menurut pegawai tersebut. Wanita itu ialah ibunya yang dibawa ke pejabat kerana tidak sihat untuk ditinggalkan di rumah.

Ketika meninggalkan pejabat itu, ingatan saya terhadap wajah dan keadaan wanita itu amat kuat. Sebak saya begitu dalam, dan air mata mengalir sendirinya. Wanita itu sungguh mengingatkan saya kepada emak yang selalu saya bawa ke mana-mana dan, selalu ada di sisi saya. Perbuatan pegawai itu mengingatkan saya betapa saya sudah menjadi seorang yang rugi kerana tiada lagi mempunyai harta paling berharga itu. Pegawai itu beruntung kerana dapat hidup lebih lama dengan ibunya sedangkan saya hanya dapat hidup selama 24 tahun 11 bulan bersama arwah emak. Tidak sampai separuh usia emak. 

Pegawai itu beruntung kerana diberi Allah anugerah seorang ibu dan usia yang panjang untuk berbakti kepada ibunya dalam keadaan dia mampu. Sedangkan saya belum sempat memberi segala yang terbaik buat emak saya. Terlalu banyak impian saya untuk emak akan tetapi banyak juga yang tidak sempat untuk saya laksanakan. Hati saya benar luruh melihat wanita itu, benar seperti saya melihat emak saya.

Di mana-mana, ada emak saya

Saya sudah melalui pengalaman ini. Pengalaman kehilangan harta yang tidak dapat saya cari lain untuk menggantikannya. Maka, kalian yang masih punya harta itu - dengarlah nasihat daripada saya. Jagalah ibu anda seperti dia menjaga anda sejak anda masih di dalam kandungannya. Penuhi segala keperluan mereka dengan kemampuan anda yang terbaik, seperti anda mahu keperluan anda dipenuhi. Berikan masa yang terbaik ketika anda bersama mereka. Selalulah berhubung dengan mereka dan menggembirakan hati mereka. Jangan sesekali membuatkan mereka berasa tersinggung mahupun kecil hati dengan kesibukan anda menjalani tuntutan kehidupan dunia, kerana mereka yang selalu perlu diutamakan. Bijaksanalah melayani keadaan mereka yang semakin meniti usia hujung dengan perasaan mereka yang semakin halus. Penjagaan kita, sebagai anak kepada mereka hanya setelah kita mampu hidup sendiri dan berdikari sedangkan penjagaan mereka terhadap kita bermula sejak kita belum mampu hidup sendiri sehinggalah kita mampu berdikari dan selesa melewati kehidupan. Seperti saya, jika dihitung - emak menjaga dan memenuhi keperluan saya sehingga saya berusia 19  tahun 9 bulan. Akan tetapi penjagaan saya kepada emak hanya selama lima tahun. Betapa pendeknya waktu saya menjaga emak dan itupun dengan terlalu banyak kekurangan.

Al Fatihah

Bahagiakan ibu anda seperti anda mahu bahagia. Kasihi ibu anda seperti anda mahu dikasihi. Hormati ibu anda seperti anda mahu dihormati. Tatapi wajah mereka dengan sayang, berikan sentuhan mesra penuh hormat, usapi ubun-ubun mereka penuh cinta, kucupi dahi mereka penuh syukur. Apabila mereka sudah tiada, semua itu tidak lagi mampu anda lakukan. Ketika itu, rindu akan mencengkam jiwa, kepada mereka yang di dalam rahimnya pernah anda menumpang hidup. Seperti saya, merindui suara emak, merindui wajah emak, merindui sms daripada emak, merindui panggilan daripada emak, merindui segala kehidupan dengan emak. Merindui setiap detik, susah dan senang bersama emak ...

Percayalah, dalam hidup anda di dunia, hanya ada seorang insan saja yang sanggup hidup dan mati kerana, iaitu ibu anda. Dia telah membuktikan kesanggupan itu dengan kerelaan untuk melahirkan anda yang di sisi Islam dianggap sebagai jihad yang bukan kecil. Ibu anda ialah insan yang Allah takdirkan untuk anda sebagai 'jalan' menuju bahagia hakiki. Hargailah harta dan amanah Allah itu kepada anda, kerana nanti - kita sama-sama akan ditanya mengenainya.

Semoga saya dapat bertemu emak saya semua. Semoga Allah tidak hidupkan saya dalam keadaan saya lupa kepada emak. Semoga Allah rahmati roh emak saya, sentiasa. Amin Ya Rahim. Amin Ya Latif.

----
Saya berdoa semoga wanita yang sungguh mengingatkan saya kepada arwah emak saya itu kembali sihat, kuat, tenang dan bahagia dalam kasih-Nya.

Ahad, 21 April 2013

QASEH

MALAM Jumaat yang lalu, saya jumpa anak kucing ini sendirian di tebing sebatang longkang berhampiran rumah. Saya pasti usianya dalam tiga minggu memandangkan matanya yang sudah terbuka tetapi keadaan telinga yang belum sepenuhnya terangkat. Dia saya berikan nama Qaseh. Sama nama dengan seekor anak kuci

ng yang saya ambil pada Julai 2011 yang lalu tetapi mati sebulan selepas itu. Setakat ini, Qaseh nampak sihat dan cergas. Kalau Wira ada, Wira akan seusia dengan Qaseh. Alhamdulillah, Kancil sedia lagi menjadi ibu angkat kepada Qaseh, memberi Qaseh hangat tubuhnya dan kasih sayang kepada anak kecil itu. 

Hari kedua Qaseh di rumah, pandangannya kabur dan lemah

Hari ketiga, Qaseh semakin sihat

Qaseh dan ibu angkatnya, Kancil

Qaseh belajar berjalan
Qaseh saya, pada Julai 2011
Semoga Qaseh akan terus sihat dan membesar dengan baik. Amin Ya Rahim

---- 

Memetik syarahan Prof. Syed Muhammad Naquib Al Attas dalam Syarahan Malam Sabtu semalam mengenai tiga kelompok perosak ilmu :
1. Golongan jahil (ignorance) yang mentafsir sesuatu ilmu mengikut tahap kefahaman sendiri semata-mata.
2. Golongan pelampau (ekstremis) yang tidak menemui titik tengah antara awal dan akhir (tidak sederhana).
3. Golongan pencuri idea (plagiaris) yang mencuri idea tetapi gagal mengembangkan idea yang dicuri dengan baik.

Semoga kita tidak termasuk dalam kalangan tiga kelompok ini. Ilmu yang benar mengajar manusia menjadi lebih yakin terhadap sesuatu yang diketahui, jauh daripada ragu dan buntu tetapi yakin kepada tuju.